Monday 16 July 2012

MAJLIS MAKAN MALAM GALA



Suasana meriah dapat dirasakan di dalam Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM  pada 25 April 2012 jam 8.30 malam bersempena dengan Majlis Makan Malam Gala.  Dengan iringan muzik etnik dan penari-penari kebudayaan  yang menyambut  ketibaan tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin selaku Naib Canselor UTHM dan Y. Bhg. Prof. Datin Dr. Maryati Mohamed, majlis turut meraikan kehadiran para setiausaha dan Ketua Jabatan dengan gaya tradisional bertemakan warna ‘purple’.

Menurut Pn Siti Masturah bt Jamegan, Pengerusi Majlis selaku Presiden Persatuan Setiausaha UTHM (SUTERA), Majlis Makan Malam  ini merupakan majlis penghargaan kepada para setiausaha yang telah memberikan komitmen dan usaha gigih di dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Majlis makan malam tersebut juga amat bermakna kepada para setiausaha apabila Y. Bhg. Dato’ Naib Canselor dan Penasihat SUTERA di dalam ucapannya menekankan kepentingan setiausaha di dalam melancarkan pentadbiran pejabat.


Majlis ini lebih meriah lagi apabila Y. Bhg. Dato’ Naib Canselor dan Datin sudi menyampaikan lagu  ‘Jikalau Ku Tahu’ dengan diiringi oleh  band UTHM.  Para setiausaha juga merasa teruja apabila Ketua Jabatan turut mendendangkan lagu yang ditujukan khas untuk para setiausaha. Tidak ketinggalan juga  Ketua Jabatan yang  turut diraikan dengan persembahan zapin oleh AJK SUTERA dan nyanyian lagu ‘Mulanya Di sini’ oleh semua setiausaha.   

Acara kemuncak malam tersebut adalah hadiah cabutan bertuah hasil sumbangan Ketua Jabatan dan pihak luar yang merupakan barangan elektrik seperti  Samsung Microwave, Television, penginapan di hotel terkemuka dan lain-lain.  

‘KERJA ITU IBADAH : ETIKA STAF CEMERLANG DUNIA DAN AKHIRAT’


   Tanggal  13 April 2012,   Persatuan Sutera  telah berjaya merealisasikan pelaksanaan program sempena Minggu Setiausaha dengan menyediakan wadah ilmu kepada warga UTHM iaitu Program Motivasi bertajuk ‘Kerja Itu Ibadah : Etika Staf Cemerlangan Dunia dan Akhirat”.   
    
  Kehadiran  ahli Persatuan Sutera, staf sokongan serta staf akademik bermula jam 8.30  pagi hingga jam 9.00 pagi di Dewan 5. Puan Azleen Sulaiman selaku Pengerusi majlis memulakan program dengan menjemput En. Mulyandi Adam untuk bacaan doa seterusnya ucapan alu-aluan dari penyelaras program Puan Aizan Halmie Mohamad.    Pengerusi majlis telah memperkenal dan membacakan biodata penceramah jemputan iaitu Dr. Rafiuddin b. Afkari iaitu Pensyarah Kanan di Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan sebelum mempersilakan beliau untuk menyampaikan ceramah.

    Dr. Rafiuddin bin Afkari dalam ceramahnya telah mengupas pengertian Kerja itu Ibadah dengan memberikan contoh-contoh yang amat bersesuaian yang dikaitkan dengan kehidupan seharian kita agar lebih memahami tanggungjawab setiap insan kepada Tuhan, keluarga dan organisasi.  Beliau juga memberikan panduan dan amalan baik yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.   Para peserta juga telah diraikan dengan diberi peluang untuk mengemukakan pertanyaan dan persoalan yang berkaitan dengan tajuk ceramah dan juga lain-lain pertanyaan.  Disebabkan faktor waktu yang agak singkat maka sesi soal jawab tidak dapat dipanjangkan dan  ada permintaan dari peserta agar ceramah seperti ini diadakan pada masa akan datang.

    Kesimpulannya Alhamdulillah program ini telah dijalankan dengan jayanya dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi dari Ahli Jawatankuasa Sutera dan juga ahli Persatuan Sutera.

KURSUS KETRAMPILAN DAN TATARIAS

Kursus Ketrampilan dan Tatarias telah diadakan pada 18 April 2012 bertempat di Dewan 5 UTHM.  Program ini terbahagi kepada 2 slot iaitu slot ketrampilan dan slot tatarias.

Bagi slot ketrampilan, Shadira Kosmetik menampilkan Puan Zainabah binti Mohd Noohu yang merupakan stokis produk Shadira Johor Bahru dan Puan Rozita binti Masuri dari Pusat Kecantikan Rozita Parit Raja.  Pengisian bagi slot ini ialah mengenai kepentingan penjagaan diri terutama penjagaan kecantikan, penampilan dan penggunaan produk yang berkaitan.  Pihak Shadira turut mengedarkan 'doorgift' yang mengandungi produk mereka iaitu BB Cream saiz mini kepada para peserta kursus.

Puan Lily Mazlin Ismail dari Akasia Kosmetik telah mengisi slot tatarias dengan menerangkan mengenai konsep dan teknik solekan yang sesuai mengkikut bentuk wajah.  Untuk tujuan itu, beliau telah memilih 2 orang model untuk disolek iaitu Puan Janah Jasman dan Puan Nadia Ayu Hasan.  Semua peserta sangat teruja dan memberi tumpuan penuh terhadap slot ini.


antara staf yang telah dimake-over




 

Wednesday 4 April 2012

SUKAN MENCERDASKAN MINDA

Persatuan SUTERA UTHM dan PAP-PRO UTHM telah mengadakan perlawanan persabahatan bagi permainan  bola jaring dan bola sepak dengan pasukan LIVERBIRD FOOTBALL CLUB MALAYSIA (SOUTHERN REGION) pada 3 Mac 2012 yang lalu bertempat di Padang B, UTHM dan Gelanggang Bola Jaring, UTHM.

Aktiviti bermula dengan ucapan ringkas daripada presiden kedua-dua persatuan dan sesi bergambar.  Perlawanan bola jaring dimulakan dan kedua-dua pasukan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi.  Namun begitu pasukan SUTERA UTHM terpaksa akur dengan kekalahan 3 - 10 dengan pihak lawan.

Sejurus berakhir perlawanan bola jaring, aktiviti diteruskan dengan perlawanan bola sepak PAP-PRO UTHM menentang LIVERBIRD FOOTBALL CLUB MALAYSIA (SOUTHERN REGION).  Perlawanan berakhir dengan pasukan PAP-PRO UTHM memperoleh kemenangan 2 - 1.  



Aktiviti sukan dan riadah seumpama ini, selain boleh meningkatkan kecergasan, ianya juga dapat mengurangkan stress dan juga mengeratkan silaturrahim.

Monday 2 April 2012

LAWATAN KE KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA

Persatuan Setiausaha (SUTERA) telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar, Nusajaya  pada 7hb Mac 2012 yang lalu dan melibatkan seramai 30 orang ahli SUTERA yang turut serta.  

Tempat-tempat yang dilawati adalah Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Ruang Galeri, Dewan Undangan Negeri dan Bangunan Sultan Ismail.

Pihak SUTERA juga amat bertuah dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menyediakan makanan tengahari kepada pihak SUTERA.




Sunday 19 February 2012

Seikhlas Hati, Setulus Kasih

Detik getir yang di lalui oleh Pn Janah sekeluarga masih belum menemui noktahnya.  Anakanda beliau kini masih terlantar di rumah memerlukan rawatan yang rapi.  Suami Pn Janah iaitu, En Zul menggalas tanggungjawab untuk menjaga anakanda mereka dengan sepenuh kasih sayang.

Walaubagaimana perit dugaan yang dihadapi, kehidupan perlu diteruskan.  Demi membesarkan anak-anak yang lain, Pn Janah harus bekerja untuk menyara keluarga.  Atas nilai persahabatan, SUTERA mengambil inisiatif untuk menghulurkan  bantuan.  Semoga sumbangan yang sedikit ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Pn Janah sekeluarga. 

Pihak SUTERA mendoakan agar Adik Amir cepat sembuh dan dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala.


Pertemuan SUTERA bersama Pendaftar

Tanggal 13 Februari 2012 yang lalu, pertemuan di antara SUTERA dan Pendaftar telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Sri Kesidang, Pejabat Pendaftar.  Pertemuan ini adalah untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kerjaya Setiausaha Pejabat di UTHM.

Antara isu yang dibincangkan adalah mengenai penempatan dan elaun.  Semoga segala perbincangan dan semua keputusan yang di ambil dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.  

Pihak SUTERA juga berharap agar pertemuan sebegini dapat diadakan secara berkala agar hubungan baik di antara SUTERA dan Pendaftar secara tidak langsung meningkatkan mutu perkhidmatan Setiausaha di UTHM.


Monday 13 February 2012

Selamat Datang

Assalamualaikum w.b.t


Selamat datang  ke blog Persatuan Setiausaha UTHM   (SUTERA) kepada semua pembaca terutama kepada  Setiausaha  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Blog ini merupakan medium untuk berkongsi maklumat khususnya maklumat kerjaya, aktiviti SUTERA dan juga medium untuk mengeratkan silaturrahim.