Friday, 12 October 2012
Friday, 17 August 2012
Monday, 16 July 2012
MAJLIS MAKAN MALAM GALA
Suasana meriah dapat dirasakan di
dalam Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM pada 25 April 2012 jam 8.30 malam bersempena
dengan Majlis Makan Malam Gala. Dengan
iringan muzik etnik dan penari-penari kebudayaan yang menyambut
ketibaan tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh
Dalimin selaku Naib Canselor UTHM dan Y. Bhg. Prof. Datin Dr. Maryati Mohamed, majlis
turut meraikan kehadiran para setiausaha dan Ketua Jabatan dengan gaya
tradisional bertemakan warna ‘purple’.
Menurut Pn Siti Masturah bt
Jamegan, Pengerusi Majlis selaku Presiden Persatuan Setiausaha UTHM (SUTERA),
Majlis Makan Malam ini merupakan majlis
penghargaan kepada para setiausaha yang telah memberikan komitmen dan usaha
gigih di dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Majlis makan malam
tersebut juga amat bermakna kepada para setiausaha apabila Y. Bhg. Dato’ Naib
Canselor dan Penasihat SUTERA di dalam ucapannya menekankan kepentingan
setiausaha di dalam melancarkan pentadbiran pejabat.
Majlis ini lebih meriah lagi apabila
Y. Bhg. Dato’ Naib Canselor dan Datin sudi menyampaikan lagu ‘Jikalau Ku Tahu’ dengan diiringi oleh band UTHM. Para setiausaha juga merasa teruja apabila
Ketua Jabatan turut mendendangkan lagu yang ditujukan khas untuk para
setiausaha. Tidak ketinggalan juga Ketua
Jabatan yang turut diraikan dengan
persembahan zapin oleh AJK SUTERA dan nyanyian lagu ‘Mulanya Di sini’ oleh
semua setiausaha.
Acara kemuncak malam tersebut adalah hadiah cabutan bertuah hasil sumbangan Ketua Jabatan dan pihak luar yang merupakan barangan elektrik seperti Samsung Microwave, Television, penginapan di hotel terkemuka dan lain-lain.
Acara kemuncak malam tersebut adalah hadiah cabutan bertuah hasil sumbangan Ketua Jabatan dan pihak luar yang merupakan barangan elektrik seperti Samsung Microwave, Television, penginapan di hotel terkemuka dan lain-lain.
‘KERJA ITU IBADAH : ETIKA STAF CEMERLANG DUNIA DAN AKHIRAT’
Tanggal 13 April 2012, Persatuan Sutera telah berjaya merealisasikan pelaksanaan program
sempena Minggu Setiausaha dengan menyediakan wadah ilmu kepada warga UTHM iaitu
Program Motivasi bertajuk ‘Kerja Itu Ibadah : Etika Staf Cemerlangan Dunia dan
Akhirat”.
Kehadiran
ahli Persatuan Sutera, staf sokongan serta staf akademik bermula jam 8.30 pagi hingga jam 9.00 pagi di Dewan 5. Puan
Azleen Sulaiman selaku Pengerusi majlis memulakan program dengan menjemput En.
Mulyandi Adam untuk bacaan doa seterusnya ucapan alu-aluan dari penyelaras
program Puan Aizan Halmie Mohamad.
Pengerusi majlis telah memperkenal dan membacakan biodata penceramah
jemputan iaitu Dr. Rafiuddin b. Afkari iaitu Pensyarah Kanan di Fakulti Sains,
Teknologi dan Pembangunan Insan sebelum mempersilakan beliau untuk menyampaikan
ceramah.
Dr. Rafiuddin bin Afkari dalam
ceramahnya telah mengupas pengertian Kerja itu Ibadah dengan memberikan
contoh-contoh yang amat bersesuaian yang dikaitkan dengan kehidupan seharian
kita agar lebih memahami tanggungjawab setiap insan kepada Tuhan, keluarga dan
organisasi. Beliau juga memberikan
panduan dan amalan baik yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Para peserta juga telah diraikan dengan
diberi peluang untuk mengemukakan pertanyaan dan persoalan yang berkaitan
dengan tajuk ceramah dan juga lain-lain pertanyaan. Disebabkan faktor waktu yang agak singkat
maka sesi soal jawab tidak dapat dipanjangkan dan ada permintaan dari peserta agar ceramah seperti
ini diadakan pada masa akan datang.
Kesimpulannya Alhamdulillah program
ini telah dijalankan dengan jayanya dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi
dari Ahli Jawatankuasa Sutera dan juga ahli Persatuan Sutera.
KURSUS KETRAMPILAN DAN TATARIAS
Kursus Ketrampilan dan Tatarias telah diadakan pada 18 April 2012 bertempat di Dewan 5 UTHM. Program ini terbahagi kepada 2 slot iaitu slot ketrampilan dan slot tatarias.
Bagi slot ketrampilan, Shadira Kosmetik menampilkan Puan Zainabah binti Mohd Noohu yang merupakan stokis produk Shadira Johor Bahru dan Puan Rozita binti Masuri dari Pusat Kecantikan Rozita Parit Raja. Pengisian bagi slot ini ialah mengenai kepentingan penjagaan diri terutama penjagaan kecantikan, penampilan dan penggunaan produk yang berkaitan. Pihak Shadira turut mengedarkan 'doorgift' yang mengandungi produk mereka iaitu BB Cream saiz mini kepada para peserta kursus.
Puan Lily Mazlin Ismail dari Akasia Kosmetik telah mengisi slot tatarias dengan menerangkan mengenai konsep dan teknik solekan yang sesuai mengkikut bentuk wajah. Untuk tujuan itu, beliau telah memilih 2 orang model untuk disolek iaitu Puan Janah Jasman dan Puan Nadia Ayu Hasan. Semua peserta sangat teruja dan memberi tumpuan penuh terhadap slot ini.
Tuesday, 10 April 2012
Wednesday, 4 April 2012
SUKAN MENCERDASKAN MINDA
Persatuan SUTERA UTHM dan PAP-PRO UTHM telah mengadakan perlawanan persabahatan bagi permainan bola jaring dan bola sepak dengan pasukan LIVERBIRD FOOTBALL CLUB MALAYSIA (SOUTHERN REGION) pada 3 Mac 2012 yang lalu bertempat di Padang B, UTHM dan Gelanggang Bola Jaring, UTHM.
Aktiviti bermula dengan ucapan ringkas daripada presiden kedua-dua persatuan dan sesi bergambar. Perlawanan bola jaring dimulakan dan kedua-dua pasukan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi. Namun begitu pasukan SUTERA UTHM terpaksa akur dengan kekalahan 3 - 10 dengan pihak lawan.
Sejurus berakhir perlawanan bola jaring, aktiviti diteruskan dengan perlawanan bola sepak PAP-PRO UTHM menentang LIVERBIRD FOOTBALL CLUB MALAYSIA (SOUTHERN REGION). Perlawanan berakhir dengan pasukan PAP-PRO UTHM memperoleh kemenangan 2 - 1.
Aktiviti sukan dan riadah seumpama ini, selain boleh meningkatkan kecergasan, ianya juga dapat mengurangkan stress dan juga mengeratkan silaturrahim.
Monday, 2 April 2012
LAWATAN KE KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA
Persatuan Setiausaha (SUTERA) telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar, Nusajaya pada 7hb Mac 2012 yang lalu dan melibatkan seramai 30 orang ahli SUTERA yang turut serta.
Tempat-tempat yang dilawati adalah Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Ruang Galeri, Dewan Undangan Negeri dan Bangunan Sultan Ismail.
Pihak SUTERA juga amat bertuah dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menyediakan makanan tengahari kepada pihak SUTERA.
Sunday, 19 February 2012
Seikhlas Hati, Setulus Kasih
Detik getir yang di lalui oleh Pn Janah sekeluarga masih belum menemui noktahnya. Anakanda beliau kini masih terlantar di rumah memerlukan rawatan yang rapi. Suami Pn Janah iaitu, En Zul menggalas tanggungjawab untuk menjaga anakanda mereka dengan sepenuh kasih sayang.
Walaubagaimana perit dugaan yang dihadapi, kehidupan perlu diteruskan. Demi membesarkan anak-anak yang lain, Pn Janah harus bekerja untuk menyara keluarga. Atas nilai persahabatan, SUTERA mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan. Semoga sumbangan yang sedikit ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Pn Janah sekeluarga.
Pihak SUTERA mendoakan agar Adik Amir cepat sembuh dan dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala.
Pertemuan SUTERA bersama Pendaftar
Tanggal 13 Februari 2012 yang lalu, pertemuan di antara SUTERA dan Pendaftar telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Sri Kesidang, Pejabat Pendaftar. Pertemuan ini adalah untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kerjaya Setiausaha Pejabat di UTHM.
Antara isu yang dibincangkan adalah mengenai penempatan dan elaun. Semoga segala perbincangan dan semua keputusan yang di ambil dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Pihak SUTERA juga berharap agar pertemuan sebegini dapat diadakan secara berkala agar hubungan baik di antara SUTERA dan Pendaftar secara tidak langsung meningkatkan mutu perkhidmatan Setiausaha di UTHM.
Monday, 13 February 2012
Selamat Datang
Assalamualaikum w.b.t
Selamat datang ke blog Persatuan Setiausaha UTHM (SUTERA) kepada semua pembaca terutama kepada Setiausaha Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Blog ini merupakan medium untuk berkongsi maklumat khususnya maklumat kerjaya, aktiviti SUTERA dan juga medium untuk mengeratkan silaturrahim.
Subscribe to:
Posts (Atom)