ARTIKEL



PENGORBANAN VS KERJAYA

Dalam menongkah arus kemajuan, bersama sebuah harapan, tebalnya keinginan serta tanggungjawab untuk memajukan diri berbakti kepada agama, bangsa dan negara, maka wanita di zaman ini semakin bangkit dengan mengumpul segala kekuatan, ketabahan untuk bersama-sama si suami dalam menerajui dan sekaligus sebagai ‘rakan kongsi’ dalam urusan rumahtangga.

Mana-mana wanita yang bergelar isteri dan juga ibu di dunia ini yang memang fitrahnya di anugerahkan sifat keibuan pasti mempunyai dilema antara kerjaya dan rumahtangga.  Ingin menjadi wanita bekerjayakah ataupun duduk dirumah menguruskan suami dan anak-anak ?  Tapi dizaman yang mencabar ini dan atas dasar ingin sama-sama menaikkan taraf ekonomi keluarga dan disamping minat dan sikap ingin memajukan diri maka memilih bidang kerjaya yang diminati adalah impian setiap wanita.

Namun kejayaan selalunya mendambakan pengorbanan.  Pengorbanan yang di istilahkan ‘3 dalam 1’ iaitu isteri, ibu dan juga pekerja  ini amat berat kerana setiap perkara dan amanah yang diletak ke atas bahu seorang isteri, ibu dan pekerja itu harus dipikul dengan sempurna.

Cuba bayangkan, setiap pagi tika embun masih basah di rumput, tatkala azan subuh baharu sahaja berkumandang, si isteri telah bangun menyediakan sarapan pagi, mungkin juga memasak untuk makan tengahari, mengemas rumah, membasuh pakaian dan mengejutkan anak-anak untuk bersekolah sedangkan diri sendiri lelah kepenatan sendirian namun digagahi jua untuk meneruskan sesi kedua iaitu menjadi pekerja pula.  Di tempat kerja pula, sebagai pekerja  yang mempunyai rasa tanggungjawab, ingin memajukan diri serta memikul tanggungjawab yang diamanahkan sebagai pekerja, komitmen tidak berbelah bahagi selalu dan harus diberikan dengan jitu.  Itu belum mengambil kira tekanan dan juga masalah-masalah di tempat kerja yang tidak dijangka mahupun yang terpaksa dihadapi saban hari.

Selesai sahaja tugas sepanjang waktu yang diperuntukkan di tempat kerja golongan wanita ini akan bergegas pulang ke rumah untuk melaksanakan pula tugas-tugas rumahtangga walaupun ketika dan disaat itu, badan tidak lagi bermaya, namun sisa-sisa kudrat yang ada tetap digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas sebagai isteri pula, ditambah dengan kerenah anak-anak, dalam pada sibuk menyiapkan makan malam, kadang kala masa dicuri sedikit untuk mendengar luahan anak-anak, masalah mereka dan juga ketawa bersama mereka.  Seharian kita di tempat kerja, si anak pastinya merindukan saat-saat bersama si ibu , peluk cium dan gurau senda dari si ibu.  

Bila tirai malam melabuh sesaat si ibu, isteri dan pekerja itu duduk menarik nafas lega, barulah dia punya masa untuk dirinya sendiri, merehatkan badan dan bersedia untuk menempuh hari esok  yang dia sendiri sudah tahu setiap inci perjalanan rutin hariannya.

Pengorbanan wanita sangat tidak ternilai harganya.    Tangan lembut  wanita yang zahirnya nampak lemah, sangat naïf kadang kalanya, bisa mengoncang dunia, bisa meruntuhkan sebuah empayar sekalipun.  Semoga kecekalan si isteri, ibu ini menjadi sumber inspirasi buat anak-anak disamping rasa hormat tidak berbelah bahagi juga untuk si bapa  yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dalam sama-sama menongkah arus cabaran  institusi kekeluargaan..

Perempuan bagaikan angin lembutnya melenakan
Ributnya menggusarkan
Adakalanya mereka seperti ibu
Menyaji kasih, menghidang sayang
Adakalanya mereka seperti anak ingin dibelai, minta dimanjakan
Adakalanya mereka seperti nenek, berleter seadanya, merungut semahunya..
Namun, merekalah teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini, bahagia dan derita kita bersama mereka..

Hasil nukilan : Lily
 
-------------------------------------------------------- 


KRITERIA SETIAUSAHA BERKESAN

1.  Memenuhi tanggungjawab kesetiausahaan.

2.  Mematuhi peraturan organisasi.

3.  Kawalan terhadap kualiti kerja.

4.  Kawalan dokumentasi yang baik.

5.  Sumber perolehan yang jelas.

6.  Dapat memenuhi jangkaan bos.

7.  Identifikasi dan kelayakan kesetiausahaan.

8.  Kawalan terhadap proses dan tahap  
    pekerjaan.

9.  Pemeriksaan dan hasil pengujian yang 
    berkesan.

10. Tindakan pembetulan dan pencegahan yang  
    berkesan.

11. Sistem kawalan rekod yang kemas.

12. Persediaan yang rapi sebelum, semasa dan 
    sesudah sesuatu tugasan.

13.  Penerapan konsep latihan yang berterusan.

14.  Penggunaan peralatan terkini.

* Sumber :  Setiausaha & Kesetiausahaan / Rahmat Ismail