Thursday, 7 March 2013

UNIVERSAL STUDIO SINGAPORE

Lawatan ke Universal Studio Singapore telah diadakan pada 22 November 2012 adalah program anjuran bersama Persatuan Setiausaha Pejabat UTHM dan KSKUiTHO.  Seramai  75 orang ahli Persatuan Setiausaha Pejabat UTHM dan ahli KSKUiTTHO serta keluarga telah menyertai lawatan ini dengan menaiki 2 buah bas yang disediakan oleh pihak agensi pelancongan.

Bas bertolak pada jam 6.30 pagi dari UTHM dan berhenti untuk sarapan pagi di R&R Gelang Patah sebelum menuju ke Singapura dengan melalui Lebuhraya Second Link. Setelah  segala urusan di Imigresen selesai kami tiba di USS lebih kurang jam 10.00 pagi.  Kami amat bernasib baik kerana hari tersebut merupakan hari bekerja bagi warga Singapura dan kami tidak perlu beratur panjang untuk setiap permainan.  Cuaca pada hari tersebut juga sangat menyebelahi kami. 

Universal Studio Singapore terbahagi kepada beberapa theme zone antaranya Hollywood, New York, Sci-Fi City, Far Far Away,  Ancient Egypt, The Lost World dan Madagascar.  Pelbagai  permainan dan persembahan sangat sesuai untuk lapisan usia dan seisi keluarga. 









MESYUARAT AGUNG SUTERA DAN SAMBUTAN HARI RAYA



Mesyuarat Agung dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Persatuan SUTERA telah diraikan pada 12 September 2012 (Rabu) bertempat di Dewan 5, UTHM.  

Mesyuarat Agung pada kali ini hanya bertujuan untuk membentangkan laporan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2012.  Majlis kemudiannya disambung dengan acara Sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
 
Suasana majlis pada pagi tersebut diraikan dengan penuh rasa muhibbah di dalam suasana mesra dan terbuka.  Hampir keseluruhan ahli telah dapat meluangkan masa hadir ke majlis tersebut dengan memakai pakaian rasmi SUTERA berwarna jingga.  Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran YBhg.  Prof. Dr. Hashim bin Saim, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) dan juga selaku Pengerusi Kelab KSKUiTTHO.

Majlis dimeriahkan lagi dengan bacaan selawat dan sesi bermaaf-maafan sesama ahli tidak kira ahli baru dan lama dan tidak lupa juga diadakan sesi bergambar.  Majlis diserikan lagi dengan juadah Hari Raya antaranya nasi tomato, laksa Johor, sate, kuih-muih dan beberapa juadah lain lagi yang telah disediakan oleh Pn. Janah selaku ahli SUTERA.  Pemberian cenderamata sempena kelahiran ahli dan kelahiran cahayamata ahli juga diraikan.

Sambutan Hari Raya ini telah memberi peluang kepada semua ahli untuk merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang disediakan.  Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.  Ia juga memberi kesempatan kepada semua ahli SUTERA untuk saling bermaaf-maafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

Walaupun semangat kekeluargaan di tempat kerja tidak sekuat pertalian keluarga sendiri, ia tidak kurang pentingnya dalam menentukan keharmornian di tempat kerja.  Akhirkata, majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri SUTERA telah berjaya diadakan secara sederhana namun dengan penuh kemeriahan.
 







Tuesday, 5 March 2013

SECEBIS BINGKISAN AIDIL ADHA

Program Secebis Bingkisan Aidil Adha yang diadakan bersempena perayaan Aidil Adha telah berlangsung pada 23 Oktober 2012 bertempat di Bilik Seminar 2, Kompleks Makmal FKEE.   Program ini membuka peluang kepada staf UTHM untuk menyampaikan bingkisan berupa kek cawan Red Velvet dan Carrot Cake kepada yang tersayang.  Promosi mengenai perkara ini telah diwar-warkan kepada semua staf dan tempahan yang diterima amat menggalakkan.

Untuk menjayakan program ini ahli SUTERA telah dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu AJK Persiapan dan Peralatan, AJK Promosi dan Percetakan, AJK Masakan, AJK Pembungkusan,  AJK Penghantaran dan yang paling utama program ini diketuai oleh Pn Janah Jasman dan Pn Roshaniza Ramli sebagai Chef.

Walaupun program ini merupakan julung kali diadakan namun mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari warga UTHM. Semoga niat murni membeli sambil menderma mendapat keredhaan dan keberkatan dari yang Maha Esa.