Monday, 13 July 2015

SALAM RAMADHAN AL MUBARAK & SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1436H

Assalamualaikum....

Betapa pantasnya masa berjalan. Pejam celik pejam celik, Ramadhan kian berlalu. Adakah amalan dan ibadah kita diterima oleh Allah SWT?  Moga segala amal kebajikan dan ibadah kita diterima oleh Allah SWT dan moga ianya lebih baik dari Ramadhan yang lalu...

Doa kami juga, semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi kita dan semoga segala dosa-dosa kita diampuni oleh Allah SWT serta dijauhkan kita dari azab api neraka... Ameen... 

Syawal bakal menjelma. Sehubungan dengan itu, kami AJK Sutera ingin memohon maaf zahir batin di atas segala kesalahan dan kesilapan sepanjang kami menerajui Kelab Sutera.  Semoga kedatangan syawal pada tahun ini merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita serta memberi seribu makna dan hikmah di dalam kehidupan kita sebagai hambaNya... Ameen Ya Rabbal Alameen... 

Salam Ramadhan Al Mubarak dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1436H




Wednesday, 8 July 2015

MALAM LAILATUL-QADAR

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ


“Carilah lailatul qadar pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari no. 2020 dan Muslim no. 1169)


Lailatul Qadar adalah malam kebesaran Allah SWT, malam keagungan-Nya, malam pengampunan-Nya, malam yang dimiliki-Nya untuk memberi maaf kepada para pembuat dosa dan menebarkan kasih sayang kepada para hamba-Nya. Dilangit ada kerajaan sangat besar yang mengatur dan mencatat segala amal manusia dimuka bumi ini. Ketika para malaikat melihat kitab catatan amal manusia, mereka iri dengan amal yang hanya khusus dilakukan penduduk bumi dimalam-malam lailatul qadar. Malaikat pun tidak ada yang dapat menirunya. Salah satu di antaranya adalah rintihan taubat para pembuat dosa yang kemudian diampuni segala dosa-dosanya.


Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Aku bertanya: WahaiRasulullah! Apa pendapat kamu sekiranya aku mengetahui (mendapati) malam lailatulqadar, apakah yang harus aku baca pada malam tersebut?  


Baginda s.a.w. bersabda: 
"Bacalah  doa yang bermaksud: (Ya Allah! Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan, oleh yang demikian ampunilah diriku)." (Hadis riwayat Imam Tirmizi). 


Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah S.A.W. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan & ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan solat dan berbagai jenis ibadat yang lain, sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya ia akan diampunkan dosanya yang terdahulu".

Semoga  Allah  memudahkan  kita  menghidupkan  hari-hari     terakhir   di bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amalan ketaatan dan semoga Allah mempertemukan kita semua dengan malam Lailatul Qadar.

Ameen Ya Rabbal Alameen....


Tuesday, 7 July 2015

SECRETARY'S DAY 2015

Assalamualaikum kepada semua ahli Sutera...


Pada 21 April 2015 telah selamat berlangsung majlis Secretary's Day anjuran Sutera UTHM bertempat di Dewan 1, UTHM. Majlis ini telah berlangsung dengan meriahnya dan berjalan dengan lancar.  Kelihatan semua ahli Sutera yang hadir tampak anggun dan manis berpakaian bertemakan Prince & Princess.  Acara tahunan yang diadakan pada setiap bulan April ini adalah bagi meraikan semua Setiausaha Pejabat yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang di UTHM. Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Rosziati bte Ibrahim.

Pelbagai acara menarik diadakan bersempena dengan Secretary's Day ini di antaranya ialah Talentime. Terdapat 4 kumpulan yang menyertai pertandingan Talentime. Seisi dewan gamat apabila bermulanya acara Talentime.  Terserlah bakat-bakat ahli Sutera yang selama ini terpendam baik dalam acara nyanyian mahupun lakonan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kumpulan yang telah memenangi pertandingan dan kepada semua para peserta yang terlibat juga tahniah diucapkan kerana telah berjaya menghiburkan semua ahli Sutera.  

Acara kemuncak petang tersebut adalah hadiah cabutan bertuah yang amat ditunggu-tunggu di mana hasil sumbangan yang diperolehi adalah dari Ketua Jabatan dan pihak luar yang merupakan barangan keperluan harian, barangan elektrik, Tupperware, penginapan dan pelbagai barangan dan hadiah menarik yang lain.

Syukur Alhamdulillah program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi dari Ahli Jawatankuasa Sutera terutama Ahli Jawatankuasa Adhoc yang bertungkus lumus merealisasikan kejayaan majlis ini.  Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua ahli Sutera yang sudi hadir memberikan galakan dan sokongan serta turut bersama-sama memeriahkan suasana majlis tersebut. 

Berikut adalah di antara gambar-gambar menarik sepanjang majlis berlangsung.