Impian
sepasang suami isteri dan tiga anak mereka di Kampung Parit Yaani dekat sini
yang hidup dalam serba kekurangan untuk tinggal di rumah yang lebih selesa
akhirnya menjadi kenyataan.
Ini
berikutan Persatuan Setiausaha UTHM (SUTERA) dengan kerjasama Pejabat Penolong
Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) UTHM telah menganjurkan
Program Integrasi Erat 2 dengan membaik pulih rumah pasangan tersebut secara
gotong-royong serta menyediakan keperluan dapur, perabot dan pakaian hari raya
hasil sumbangan warga UTHM.
Presiden
SUTERA, Pn Siti Masturah bt Jamegan bersama ahlinya serta beberapa staf UTHM telah bertungkus
lumus seawal jam 9.00 pagi dengan membersih, mengecat serta menghias rumah
pasangan ini untuk memberi kejutan kepada anak-anak pasangan tersebut
sekembalinya dari sekolah. Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini telah
menyuntik semangat sukarelawan untuk berbakti tanpa mengenal penat dan dahaga. Rumah
yang sebelum ini kelihatan usang telah bertukar wajah menjadi lebih ceria.
Siti
Masturah berkata, inisiatif untuk membaik pulih rumah pasangan tersebut telah
diputuskan oleh Majlis Tertinggi SUTERA selepas membuat tinjauan ke rumah berkenaan semasa
Program Integrasi Erat 1 yang lalu. Beliau turut menyatakan bahawa tujuan
program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara UTHM dengan
masyarakat setempat dengan memberi keselesaan kepada keluarga ini agar turut
sama merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri. Hasil sumbangan warga UTHM yang
berterusan samada dari segi kewangan mahupun barangan telah merealisasikan
impian ini.
Sementara
itu, En Roslan bin Bingan, dan isteri, yang mempunyai tiga anak berusia tujuh,
sebelas dan dua belas tahun terharu dengan sumbangan tersebut yang disifatkan
telah memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka. "Saya
berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh pihak UTHM. Dengan adanya bantuan
ini memberikan keselesaan dan kemeriahan hari raya buat kami sekeluarga”.